Kerajaan tidak pernah sembunyi Titah Adendum, ulang Fahmi

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak pernah disembunyikan kerajaan.

Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan bahawa, dokumen tersebut tidak pernah disembunyikan dan perkara itu melibatkan Lembaga Pengampunan.

“Sejujurnya, dokumen itu tidak pernah disembunyikan. Sebagai Menteri Komunikasi, saya tidak menerima, melihat mahu pun dimaklumkan mengenai dokumen itu.

“Saya percaya perkara ini melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga mengakui bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan kes itu dihantar ke Mahkamah Tinggi.

“Jadi, kita perlu mendapatkan pandangan dan nasihat Peguam Negara dalam beberapa perkara bagi memastikan prosiding tidak prejudis,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Fahmi menjelaskan bahawa, kerajaan berpandukan proses yang berlaku di mahkamah dan terikat dengan prinsip ‘sub judice’.

“Justeru, kami menghormati dan berpegang kepada prinsip itu manakala proses mahkamah telah dijalankan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa, Mahkamah Rayuan telah memutuskan kes itu dihantar ke Mahkamah Tinggi dan kerajaan perlu mendapatkan pandangan dan nasihat Peguam Negara.

Pada Isnin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mempersoalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengetahui kewujudan titah tambahan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan isu tahanan rumah Najib.

“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

Terdahulu, pasukan pembelaan Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah disembunyikan daripada umum.

Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa perintah itu wujud dan ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Anda Mungkin Berminat