Yakin Anwar terus pertahan kebebasan kehakiman – Tengku Maimun

PETALING JAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjaga kebebasan badan kehakiman negara.

Beliau berkata demikian ketika mengimbas kembali pada tahun 2009, bagaimana Anwar ketika itu merupakan Ketua Pembangkang yang membuat bantahan terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di Dewan Rakyat.

“Anwar ketika itu membantah dengan alasan bahawa Rang Undang-Undang Parlimen (yang kini telah menjadi undang-undang) tidak mencukupi untuk meningkatkan kebebasan badan kehakiman.

“Secara kebetulan, 15 tahun lalu, sebelum Akta JAC 2009 dikuatkuasakan, Ketua Pembangkang pada masa itu memberikan pandangan, seperti yang tercatat dalam hansard, mengenai pelantikan hakim dan kebebasan kehakiman.

“Saya yakin bahawa kini, sebagai Perdana Menteri, Anwar dan kerajaannya akan kekal setia dengan pandangan tersebut dengan terus berkomitmen tanpa syarat untuk mempertahankan kebebasan kehakiman,” katanya memetik laporan media tempatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Anda Mungkin Berminat