Hantaran palsu: MCMC ambil keterangan ADUN Sungai Burong

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selesai merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkenaan hantaran palsu mengenai Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM menjelaskan bahawa siasatan itu setelah menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan hantaran palsu itu.

“Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu.

“Namun, pihak MCMC telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Selangor.

“Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan ADUN berkenaan, YB Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin pada 7 Januari 2025 bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM itu, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.

Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC turut memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih. Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat