Meta tamat perkhidmatan semakan fakta, undang keganasan siber terhadap wanita politik

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Meta untuk menamatkan perkhidmatan semakan fakta pada platformnya.

Menurut beliau, Langkah itu dilihat sebagai satu langkah mundur dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap peningkatan keganasan siber terutamanya terhadap wanita dalam politik.

“Dengan menghentikan perkhidmatan semakan fakta, Meta berisiko memperburuk trend yang sudah membimbangkan ini.

“Maklumat salah boleh digunakan untuk memperkukuh stereotaip berbahaya, memperdalam ketidaksamaan yang sedia ada dan menghalang wanita daripada menyertai kepimpinan politik.

“Perkembangan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan individu tetapi juga mengancam kemajuan yang telah dicapai ke arah mencapai kesaksamaan jantina dalam peranan kepimpinan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sanghetha berkata, platform digital terutamanya media sosial telah menjadi saluran kritikal untuk penglibatan politik, wacana awam dan advokasi.

Namun, katanya, ia juga menjadi ruang di mana maklumat salah dan disinformasi berkembang yang sering menyasarkan golongan wanita.

“Kajian dan pengalaman di seluruh dunia menunjukkan bahawa wanita dalam politik sering menghadapi serangan berasaskan jantina termasuk gangguan dalam talian, ancaman, dan penyebaran naratif palsu yang bertujuan untuk merosakkan kredibiliti mereka.

“Kesan berasaskan jantina daripada maklumat salah yang tidak terkawal tidak boleh dipandang remeh. Pemimpin wanita dan calon sering menjadi sasaran kempen jahat yang mengeksploitasi bias masyarakat dengan menyasarkan mereka kerana jantina dan bukannya dasar atau kemampuan mereka,” katanya.

Terdahulu, Meta dalam satu kenyataan pada 7 Januari mengumumkan bahawa ia akan menamatkan program semakan faktanya yang telah digunakan selama lapan tahun bagi mengurangkan penapisan dan meningkatkan kandungan politik di Facebook, Instagram dan Threads.

Sehubungan dengan tindakan itu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, tindakan Meta untuk menamatkan perkhidmatan semakan fakta pada platformnya akan mempunyai kesan tetapi ia tidak akan menjejaskan komuniti media sosial Malaysia dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, saya tidak nampak ia akan menjejaskan pasaran Malaysia, hanya Amerika Syarikat,” katanya merujuk kepada langkah awal pelaksanaan Meta terhadap tindakan itu dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat