Titah Adendum jadi serangan politik, pembangkang tiada asas

KUALA LUMPUR: Dakwaan atau tuduhan berkenaan Titah Adendum terhadap Kerajaan disifatkan sebagai serangan politik dengan tujuan mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata kesimpulan itu dibuatnya selepas kehadiran penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar solidariti tetapi ada agenda.

Katanya, titah tambahan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

“Kalau kita lihat kesimpulan selepas daripada keputusan itu, yang berlaku sekarang adalah serangan serangan politik, misalnya minta perdana menteri letak jawatan.

“Misalnya pihak berkenaan menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong menyorok dan sebagainya.

“Namun, bagi saya itu serangan serangan politik yang tidak berasaskan kepada fakta-fakta yang dipegang kerajaan kepada keputusan mahkamah.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada peringkat awal menyatakan ia ‘hearsay’ (khabar angin),” katanya, memetik Berita Harian pad Rabu.

Isnin lalu, dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Najib memberitahu perintah adendum berhubung tahanan rumah dihantar Istana Negara kepada peguam negara ketika itu, Ahmad Terrirudin pada 29 Januari 2024.

Dalam keputusan majoriti 2-1 itu, Hakim Datuk Seri Firuz Jaffril menyatakan Najib menulis kepada enam daripada tujuh responden yang dinamakan dalam rayuan bagi mengesahkan kewujudan adendum berkenaan, namun tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.

Bagaimanapun, isu pengampunan Najib mencetus perdebatan berikutan didakwa Titah Adendum dikatakan pembangkang sengaja disembunyikan oleh kerajaan.

Shamsul Iskandar yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh mengambil pendirian berbeza dengan keputusan mahkamah.

“Memang rakyat akan mempertikai mengapa pendirian mahkamah lain, pendirian kerajaan lain. Sebab itu dalam hal ini pada saya tidak ada sesiapa menyorok apa kerana apa yang dipegang oleh kerajaan itu.

“Ia berasaskan institusi penting negara iaitu institusi kehakiman. Sekarang ini kes itu dibawa ke Mahkamah Rayuan, kes belum selesai lagi sekiranya Peguam Negara (AG) setuju.

“Saya percaya itu kebijaksanaan AG, kes akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan jika Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan ia kembali ke Mahkamah Tinggi untuk dimulakan prosiding semakan kehakiman,” katanya.

Katanya, sebab itu pembangkang ingin menggunakannya sebagai serangan politik bertalu-talu kepada Perdana Menteri.

“Sedangkan ketika PAS, BERSATU menjadi kerajaan, apa berlaku kepada Datuk Seri Najib? Ketika Tan Sri Muhyiddin (Yassin) menjadi Perdana Menteri, kita tahu Najib dibicarakan.

“Pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri Perdana Menteri), PAS dan BERSATU juga menjadi Pakatan dalam kerajaan, ketika itu kita tengok Najib merengkuk dalam penjara.

“Namun, ketika Anwar menerajui kerajaan, kita lihat ada sedikit keterbukaan dari segi pendekatan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu ada dalam undang-undang dan wujud dalam perlembagaan, mohon kemukakan untuk proses seterusnya.

“Ia proses yang seadilnya boleh dilakukan oleh mana-mana rakyat, tidak kira bekas perdana menteri ke ataupun orang biasa, mereka juga boleh gunakan jalur sama iaitu menggunakan undang-undang terutamanya pengampunan ini,” katanya.

Ditanya mengenai keharmonian dalam kerajaan MADANI yang dikatakan menyembunyikan dokumen itu, beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengambil sikap menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan meminta ahli UMNO tidak pergi ke himpunan Isnin lalu.

“Beliau juga menyebut siapa yang pergi itu tanggung sendiri. Jadi maksudnya di situ kita lihat ada persefahaman yang kuat.

“Tujuan awal perhimpunan itu dianjurkan untuk memberikan sokongan pada Najib, tetapi apabila melihat sudah ada elemen politik jahat, ada dua tiga parti lain ingin menunggang isu ini dan kemudian disusuli pula dengan titah adendum memberikan kejelasan kepada isu ini.

“Maka mereka membatalkannya, yang kedua kita lihat selepas daripada keputusan izin untuk semakan atau kebenaran semakan kehakiman kita tengok beberapa kenyataan misalnya kenyataan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin jelas dan tegas menyatakan ia proses undang-undang yang dihormati,” katanya. Justeru, katanya dari segi komponen dalam Kerajaan Perpaduan itu, tiada yang tergugat dan peringkat pimpinan atasan mereka tahu Anwar menunjukkan keikhlasan untuk memastikan keadilan warganegara.

“Dalam konteks ini, kita bercakap mengenai Najib yang saya lihat cuba digugat, diambil peluang ini oleh pembangkang, namun kita lihat itu tidak berhasil.

“Saya ingin dinyatakan 2025 ini tahun sangat penting negara kita. Tahun ini Malaysia mempengerusikan ASEAN, tetapi Anwar terus bergerak memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa hal politik kita boleh kendalikan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat