Video TMM 2026 dibuat semula lebih terperinci – Menteri

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci.

Beliau berkata ini bagi mempromosi setiap negeri secara khusus dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.

Kementeriannya (MOTAC) dan agensi yang berkaitan telah diminta menghasilkan video-video promosi, dan membahagikan promosi negeri berkenaan mengikut zon, memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan hasil akhir video yang ditunjukkan kepadanya pada Khamis.

“Saya mahu video itu dibahagikan mengikut zon, supaya orang ramai faham, negeri ini ada apa (tarikan setiap negeri) bukan kita lompat sini, lompat sana… akhir sekali pelancong dari luar negara pun keliru, tak tahu mana satu (tarikan) di negeri itu.

“Kita promosi setiap negeri dengan teratur, saya minta semua kerajaan negeri, masing-masing bekerjasama, bekalkan kita dengan maklumat, destinasi pelancongan, produk atau pakej (pelancongan) yang baharu, atau makanan yang kita rasa paling sedap, kita boleh masukkan (dalam video) untuk dipromosi,” katanya, memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Pelancongan (Wilayah Tengah) 2025 di sini pada Khamis.

Terdahulu, kontroversi melibatkan video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Bagaimanapun King Sing menegaskan, tujuan utama video montaj ringkas pelancaran Kempen TMM 2026 adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan termasuk perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa depan, bukannya mengenai agama atau perkauman.

Berikutan itu, King Sing melahirkan rasa amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta bahan perpecahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat