Empat Lelaki Diserang Kumpulan Berparang

Oleh: Hanim Nadia

NILAI: Empat lelaki diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa diserang sekumpulan suspek disyaki warga tempatan dianggarkan seramai lima individu bersenjatakan parang ketika sedang duduk minum di restoran tersebut.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima makluman daripada orang awam memaklumkan terdapat empat lelaki warga tempatan lingkungan umur 44 tahun hingga 59 tahun dikatakan diserang.

“Difahamkan ia dilakukan sekumpulan lelaki ketika mangsa berada dalam sebuah kedai makan dalam daerah pentadbiran IPD Nilai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Tengku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Jelas beliau, motif serangan masih belum dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7902222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat