PETALING JAYA: Malaysia telah bersetuju untuk bersama-sama Jepun mempengerusikan persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Persetujuan itu sangat bermakna terutamanya ketika hala tuju dan masa depan Palestin sebagai negara merdeka dilihat tidak jelas.
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, meskipun pra-syarat persidangan tersebut adalah gencatan senjata dan penamatan perang, ia memberikan isyarat optimistik bahawa kebijakan dan kerjasama antara negara tetap waras dalam pembelaan rakyat, kebebasan, keamanan serta keadilan sejagat.
Syed Ibrahim juga menyarankan agar inisiatif lebih tangkas digerakkan untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas faktor kekejaman genosid dan amalan apartheid ke atas rakyat Palestin.
“Kekebalan Israel wajib ditembusi kerana hingga waktu ini, pembunuhan dan serangan ke atas Gaza, Lubnan dan Yaman masih berlaku setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau juga mengharapkan ASEAN, dengan Malaysia sebagai Pengerusinya tahun ini dapat memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat untuk memastikan keamanan, kestabilan serantau dan kebebasan ekonomi.
“Saya berharap ASEAN dengan Malaysia sebagai pengerusinya tahun ini akan turut memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat dalam mencapai keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Terdahulu, Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Jepun menganjurkan CEAPAD pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganggap inisiatif itu sangat bermakna bagi Malaysia dan negara-negara Islam lain di seluruh dunia.
Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba ke Malaysia pada Jumaat, Anwar berkata, Malaysia dan Jepun akan menyokong inisiatif Sekretariat ASEAN (ASEC) dan berbincang dengan negara anggota untuk mengadakan mesyuarat serupa di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN.