DBKL arah henti Havoc Food Festival sehari lebih awal

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan supaya penganjuran karnival Havoc Food Festival di tempat letak kereta Sama Square dekat Setapak, Kuala Lumpur dihentikan pada Sabtu.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, karnival itu yang sepatutnya tamat pada Ahad terpaksa dihentikan sehari lebih awal, berikutan penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nik Nazmi berkata, permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan karnival itu sebelum ini ditolak sebanyak dua kali disebabkan lewat dan aduan penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.

“Pihak penganjur diingatkan tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sejak 9 Januari lalu apabila penduduk di kawasan itu meluahkan reaksi negatif, berikutan terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam berpunca daripada penganjuran karnival berkenaan.

Sementara itu, menurut Havoc Food Festival, segala aktiviti pada karnival itu terpaksa dibatalkan atas perkara yang tidak dapat dielakkan.

Selain jualan makanan, karnival itu turut menampilkan persembahan artis tempatan terkemuka, pertandingan mewarna dan Havoc Berselawat dan Qasidah.

“Segala kesulitan amat dikesali. Sekali lagi pihak Havoc ingin memohon maaf kepada semua,” tulisnya menerusi hantaran di laman Instagram.

Havoc Food Festival dijadual berlangsung mulai 9 Januari hingga 12 Januari 2024 mulai jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Anda Mungkin Berminat