PETALING JAYA: Dengan adanya lesen media sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan memberi impak yang positif dalam sektor ekonomi.
Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, sebelum ini, ketiadaan pelesenan platform media sosial menyebabkan tiada kawalan pendapatan media sosial yang boleh diperkenalkan.
Katanya, ini seterusnya menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan dari segi percukaian, pengiklanan dan sebagainya.
Tambahnya, beberapa negara luar sudah pun menetapkan cukai yang perlu dibayar oleh pengendali media sosial, hasil daripada pengiklanan dan perkhidmatan disediakan dalam platform mereka.
“Dengan adanya pelesenan platform media sosial ini, maka langkah seterusnya adalah mengenakan cukai buat pengendali.
“Oleh itu, manfaat cukai yang diperolehi kerajaan akan kembali semula kepada rakyat sama ada dalam bentuk pendidikan, infrastruktur atau kesihatan. Rakyat mahu kerajaan bantu mereka, jadi itulah salah satu cara yang ada.
“Kalau rakyat atau pengguna media sosial ada perkara yang mahu disorokkan dan mahu membuat kenyataan tanpa tanggungjawab, maka sudah tentulah mereka akan membantah apa yang dilakukan oleh kerajaan,” tambahnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan pelesenan platform media sosial berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Langkah perlesenan ini dilakukan dalam memastikan pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.
Baca juga: