Sistem pengangkutan awam bersepadu penting untuk Pulau Pinang – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan Pulau Pinang memiliki sistem pengangkutan awam bersepadu untuk menyokong peranan negeri tersebut sebagai hab industri semikonduktor.

Justeru, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sedang dipercepatkan untuk memenuhi keperluan pelancongan dan industri semikonduktor.

Sementara itu, zon ekonomi bahagian utara semenanjung yang bakal diwujudkan dengan kerjasama kerajaan Thailand akan menjanjikan peluang besar dalam kerjasama serantau.

Anwar menekankan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja dikenali dengan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) atau projek Transit Aliran Massa (MRT), tetapi juga boleh menjadi negeri yang komited membasmi kemiskinan, menjamin perumahan rakyat serta memberi tumpuan kepada perusahaan kecil seperti warung-warung yang menjadi nadi masyarakat.

“Saya turut mengulangi komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus memberi tumpuan kepada projek kebajikan rakyat melangkaui sempadan politik.

“Ini seperti bantuan petani wilayah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan projek-projek tebatan banjir di Kelantan.

“Saya menitipkan harapan agar projek ini dilaksanakan dengan teratur dan efektif, sambil memelihara aspek identiti dan warisan budaya negeri Pulau Pinang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada Sabtu, Anwar merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang dekat George Town, Pulau Pinang.

Projek di bawah Kementerian Pengangkutan ini menandakan permulaan era baharu transformasi bagi rangkaian pengangkutan awam di negeri ini.

Laluan LRT sepanjang 29.5 kilometer itu dijangka memperkukuh hubungan serantau, meningkatkan mobiliti, dan menyokong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada masa depan.

Projek ini dijangka mula beroperasi pada Disember 2031, mencipta ribuan peluang pekerjaan, menarik pelaburan yang signifikan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Anda Mungkin Berminat