Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seramai 14 pelajar Malaysia daripada University of California, Los Angeles (UCLA) yang terkesan akibat kejadian kebakaran besar di Los Angeles, berada dalam keadaan baik.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan, mereka akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/09/Wisma-Putra.jpg)
“Sehingga kini, pelajar yang terkesan seramai 14 orang daripada UCLA kerana berhampiran dengan lokasi kejadian tersebut.
“Kementerian ini menerusi Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA) sentiasa memantau perkembangan terkini dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar.
“KPT bersama pejabat Consul General (CG) di Los Angeles juga telah bersetuju untuk memberi bantuan dan akan melaksanakan pelan evakuasi sekiranya perlu melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai shelter house.
“Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada arahan evakuasi yang dikeluarkan oleh pihak UCLA kepada para pelajar tersebut,” kata KPT dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya lagi, KPT melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sentiasa mengikuti rapat perkembangan situasi di luar negara terutamanya melibatkan penempatan pelajar Malaysia di negara-negara yang sedang bergolak dengan situasi kecemasan seperti rusuhan, peperangan dan bencana alam.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2025/01/IMG_0601-1024x674.jpeg)
Tambahnya, kementerian ini juga mengambil maklum akan bencana yang menimpa Los Angeles sehingga menyebabkan pengisytiharan “State of Emergency” oleh Mayor Los Angeles, Karen Bass akibat kejadian Palisades Fire dan Windstorm.
“Jadi, KPT ingin memperkenalkan sistem pembangunan data yang telah disediakan melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U.
“Pelajar amat digalakkan untuk mengemaskini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi KPT bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat,” jelasnya.
Tambah KPT, sekiranya berlaku sebarang insiden, sila berhubung dengan pejabat Education Malaysia Los Angeles di maklumat perhubungan seperti di bawah untuk sebarang maklumat dan tindakan selanjutnya.
EDUCATION MALAYSIA LOS ANGELES
Pegawai: Atase Pendidikan Education Malaysia Los Angeles
No. Telefon: +1 (626) 879-4923
Emel: emla@mohe.gov.my
Baca juga: