Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Donald Trump ingin menjadikan Gaza sebagai ‘neraka’ jika Hamas tidak membebaskan tawanan Israel kini memakan dirinya sendiri.
Menurut Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sebelum Trump membakar Timur Tengah, neraka terlebih dahulu menjenguk Amerika Syarikat dengan kebakaran besar di Los Angeles.
“Kata mereka, tiada siapa yang mampu berhadapan dengan keupayaan, kekuatan dan kemajuan mereka.
“Namun mereka tewas tidak terdaya hanya dengan angin yang meniupkan api yang menerjah segala kekayaan harta dan hiburan mereka sepantas yang tidak diduga.
“Sekarang bukan sahaja Los Angeles, tapi New York juga mula merasa akibatnya. Allahu Akbar, walillahilham. Ya ALLAH! Musnahkan golongan yang zalim!,” kata Dr Maza dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Menjelang penggal baharu di Amerika Syarikat, Trump memberi amaran kepada Hamas untuk menjadikan Timur Tengah sebagai ‘neraka’ sekiranya tawanan Israel di Gaza tidak dibebaskan sebelum pentadbirannya bermula.
Trump yang akan mula mentadbir AS pada 20 Januari 2025 juga menegaskan bahawa situasi akan memburuk di pihak HAMAS.
Beberapa kawasan di Los Angeles mengalami kebakaran berskala besar sejak Selasa minggu lalu sehingga mengorbankan 11 orang, manakala punca kejadian berlaku masih belum diketahui.
Kebakaran di Los Angeles dan kawasan sekitarnya, disifatkan bencana alam terburuk di rantau itu dalam beberapa dekad.
Baca juga: