TLDM musnah bom perang dunia kedua di Semporna

Oleh: Hanim Nadia

SEMPORNA: Sebuah bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) tinggalan perang dunia kedua yang ditemui di perairan Pulau Sibuan pada 7 Januari lalu, telah dimusnahkan pada jam 3.10 petang Sabtu.

Menurut kenyataan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pasukan penyelam ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Lumut bersama MAWILLA 2 diatur gerak untuk melaksanakan operasi pemusnahan bom itu.

“Siasatan awal mendapati UXO berukuran 3 kaki panjang dan 1 kaki lebar serta dianggarkan seberat 250kg dipercayai berasal dari tahun 1945, sewaktu era Perang Dunia Kedua.

“Pemusnahan dilakukan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), iaitu kaedah memusnahkan bahan letupan di lokasi penemuan dengan langkah keselamatan tertinggi.

“Tiada sebarang kerosakan terhadap harta benda atau alam sekitar marin dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil Post Blast Investigation (PBI) mengesahkan UXO yang dimusnahkan merupakan Aerial Bomb, iaitu bom yang dijatuhkan dari pesawat udara.

Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada ESSCOM, ATB2, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Selain itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), ATB2, dan Taman-Taman Laut Sabah turut menugaskan bot untuk kawalan keselamatan sepanjang operasi berlangsung.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat