KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan ketidaksetujuannya terhadap permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan perintah larangan ulasan (gag order) berhubung kes semakan kehakiman titah tambahan yang melibatkan Najib Razak.
Beliau menegaskan bahawa tidak sepatutnya ada perintah larangan ulasan kerana kes tersebut kini sudah menjadi domain awam.
“Sejujurnya, tidak sepatutnya ada perintah larangan ulas.
“Pertama, kes itu kini sudah menjadi domain awam,” katanya kepada pemberita ketika hadir Persidangan Pembiayaan Politik Antarabangsa di sini, hari ini.
Azalina menjelaskan bahawa Parlimen akan bersidang bulan depan dan isu ini akan timbul semula.
Beliau juga menekankan bahawa AGC mempunyai alasan undang-undang tersendiri untuk memohon larangan tersebut dan badan kehakiman mesti dibenarkan bertindak bebas dalam hal berkenaan.
Kes semakan kehakiman titah tambahan ini melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah dan penyelewengan dana.
Permohonan larangan ulasan oleh AGC bertujuan untuk mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi prosiding mahkamah dan mengganggu keadilan.
Baca juga: