Logo halal tidak sah, PDRM digesa siasat – AMK

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh ekoran dakwaan KK Mart dan pengilang, Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, menjual produk ‘Ham and Cheese Sandwich’ dengan mencetak logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nabil Halimi berkata, siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Isu ini membangkitkan kebimbangan terhadap kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli.

“Penggunaan logo Halal tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa pihak korporat termasuk pengilang dan pengedar perlu bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan menghormati sensitiviti pengguna.

Nabil menyeru orang ramai untuk menggunakan aplikasi dan portal Halal Malaysia bagi menyemak status halal produk serta melaporkan sebarang unsur penipuan kepada pihak berkuasa.

“Kepercayaan penuh perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” jelasnya.

Pada Sabtu, Universiti Malaya (UM) menutup dua premis jualan runcit 24 jam berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang diragui halal.

UM mengeluarkan arahan penutupan tersebut bagi memberi ruang agar siasatan yang dijalankan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat