Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN: Nikmat menjadi kerajaan sekejap, menjadikan Pas kini akan ‘menghalalkan’ apa sahaja cara untuk kembali ke tampuk kuasa.
Dewasa ini, apa sahaja istilah negatif yang terakam dalam kamus agama dan kosmos bangsa akan dialihkan demi kepentingan politik untuk menzahirkan kuasa di tangan.
Fitnah dalam kes sepu..pu.. Chin Peng walaupun telah dibuktikan di mahkamah, Pas mengeluarkan arahan wajib dibantu kepada pesalah atas nama jihad.
Maka beredarlah tin-tin milo ke pelusuk negara untuk dipenuhi oleh ahli-ahli yang taat, walau hidup sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Nasihatnya jangan sesekali jika anda daripada parti lain untuk menyanggah bahawa cara ini tidak kena, nanti tukang beri nasihat di sepu..puu nya.
Begitu juga istilah ‘rasuah’ akan bertukar menjadi ‘sedekah’ demi untuk mencukupkan jumlah.
Maka tidak hairanlah dalam isu adendum ini, Pas tanpa rasa segan- silu bangkit menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dengan cuba bermain mata dengan Umno yang makin serasi dalam kerajaan Perpaduan.
Padahal Pas adalah parti paling lantang mencaci Najib berkenaan 1MDB hingga hujung rambut sampai hujung kaki.
Tindakan ini memperlihatkan Pas sekali lagi membelakangi penasihat ekonomi empat negeri di bawah Perikatan Nasional(PN) iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menjuarai serangan terhadap Najib, bagi yang sudah lupa bahawa dakwaan-dakwaan terhadap salah guna kuasa dan rasuah anak Tun Razak itu berlaku ketika Mahathirlah menjadi Perdana Menteri.
Bertukar Wajah
Ironinya sikap Pas yang bertukar wajah menyokong Najib bukan sesuatu yang sukar dijangka.
Pas boleh memilih pelbagai alasan demi kelangsungan politik mereka yang makin terhakis di persada politik negara, melainkan hidup dengan ‘menunggang’ sentimen bangsa dan agama.
Untuk itu, tulisan ini cuba mengariskan beberapa perkara mengapa Pas kini menjadi penyokong tegar Najib dan membelakangi Mahathir dan Muhyiddin serta sedang berusaha memperalatkan Umno yang pernah dikafirkan dahulu.
Faktor yang pertama ialah, Najib cuma alat dalam meraih sokongan daripada Umno secara mutlak.
Ini kerana berdasarkan kepada situasi semasa dalam Kerajaan Perpaduan dan Umno yang diterajui Ahmad Zahdi Hamidi mana mungkin Pas akan dapat sokongan daripada Umno.
Dan kaedah terbaik ialah menarik perhatian Najib dan penyokongnya dalam Umno, bahawa mereka adalah penyokong paling ‘wahid’ bekas Perdana Menteri itu.
Naratifnya, tentulah jika Najib beroleh pengampunan dan dibebaskan maka hala tuju sokongan Umno akan beralih kepada Pas dan cukup jumlah untuk memerintah Malaysia tanpa proses pilihan raya.
Impian Pas ini bukanlah naratif kosong, sebaiknya mereka akan mengungkit nostalgia Muafakat Nasional(MN) 2019 yang mana terjadi ketika hari-hari terakhir Najib sebagai ahli politik bebas sebelum dihukum di mahkamah.
Asasnya adalah bagi memastikan politik Melayu dan Islam akan terpelihara di bawah kerjasama berkenaan.
Ini dilihat Pas sebagai satu langkah strategik untuk mengekalkan kestabilan politik dan memastikan kedudukan orang Melayu dan Islam terpelihara dalam kerangka politik negara.
Untuk itu, serangan berkenaan adendum ini terus dihalakan kepada DAP, walaupun parti itu tidak berkaitan secara langsung dalam isu terbabit.
Seterusnya dalam siri-siri kempennya, Pas akan mendakwa bahawa pihak kerajaan hari ini dalam kes hukuman dan adendum Najib adalah bermotifkan politik dan bukan semata-mata berdasarkan keadilan.
Sedangkan Pas lupa bahawa, sepanjang perbicaraan dan hukuman dijatuhkan kepada Najib, Pas adalah sebahagian daripada kerajaan ketika itu.
Malah ketika hukuman dijatuhkan, seluruh kepimpinan Pas membisu dalam membela Najib, jauh sekali untuk berhimpun menyatakan soladariti.
Tiba-tiba bila terlepas kuasa, Pas kini menganggap Najib sebagai salah satu pemimpin utama yang memperjuangkan agenda Melayu dan Islam di Malaysia.
Pas secara konsisten menekankan kepentingan perpaduan Melayu-Islam, kerana naratif ini sahajalah yang menjadikan Pas releven dalam arus politik.
Bagaimanapun, naratif ini bukan percuma, kerana Pas perlu kepada dukungan Umno kerana parti Bersatu yang berada dalam Perikatan Nasional(PN) sekarang tidak mempunyai nilai tambah terhadap perjuangan Melayu dan Islam versi Pas.
Bagi Pas, hanya Umno dilihat sebagai parti yang dapat membantu merealisasikan objektif tersebut.
Pada masa yang sama, Pas mungkin menilai bahawa menyokong Najib adalah cara untuk memperkukuhkan blok politik Melayu-Islam yang lebih besar.
Mereka percaya bahawa melalui penyatuan ini, lebih banyak hak dan kepentingan orang Melayu dan Islam dapat diperjuangkan.
Selain itu, Pas juga melihat pentingnya berhubung rapat dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya dalam usaha untuk mempengaruhi dasar dan keputusan penting di peringkat nasional.
Nyata sokongan terhadap Najib adalah sebagai satu strategi untuk mendapatkan keuntungan politik atau mengukuhkan kedudukan Pas dalam perundingan-perundingan politik dengan pihak yang lebih besar.
Tetapi Pas harus ingat, sepanjang 14 bulan berada dalam kerajaan, rakyat melihat secara langsung bahawa parti itu gagal dalam peluang menegakan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
Ini adalah tanda aras menunjukkan kelemahan Pas, setelah sebelum itu ketika menjadi pembangkang sibuk menganjurkan himpunan mendesak kerajaan melaksanakan RUU 355 tersebut.
Kesimpulannya, jika dinilai kembali sokongan Pas terhadap adendum Najib ini nyata jauh daripada ikhlas, sokongan ini bukan kerana Najib tetapi strategi politik murahan untuk kuasa kononnya untuk bangsa dan agama.
Dan ingatan kepada penyokong Najib dalam Umno jangan sesekali terbuai dengan muslihat sokongan ini. Umno belum pulih dari zaman gelora, dan untuk menghadapi gelora kapal perlu kepada seorang sahaja nakhoda.
Baca juga: