Oleh: Haikal Tajuddin
LONDON: Lawatan Perdana Menteri dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merangkumi pelbagai bidang antaranya pelaburan dan perdagangan.
“Hari ini, saya tiba di London, UK bagi mengadakan lawatan kerja selama lima hari atas jemputan rakan sejawat, Keir Starmer.
“Saya percaya, lawatan ini juga akan memberikan nafas baharu kepada hubungan dua negara selepas Keir Starmer memegang jawatan Perdana Menteri sejak Julai 2024,” katanya menerusi Facebook, pada Rabu.
Anwar turut berkata jadual padat menanti delegasi dengan menerokai inisiatif-inisiatif baharu diantara kedua-dua negara.
“Moga agenda, misi dan segala yang dirancang di United Kingdom ini akan dipermudahkan-Nya dan mendapat manfaat kepada rakyat dan juga negara, Insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod, UK adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah.
Hal ini juga selaras dengan penyertaan UK dalam Comprehensive and Progressive for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) selain sinergi sektor ekonomi, ASEAN, global dan situasi di Myanmar dan Palestin.
Terdahulu, Anwar turut melakukan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-UAE.