Mohamad Sabu imbas kembali kejayaan KPKM pada 2024

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Sebanyak 7,043 program jualan Agro Madani telah dianjurkan di seluruh negara melebihi sasaran 5,000 program.

Dengan pencapaian itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program tersebut meliputi 900 lokasi di kompleks kerajaan dan 2,132 lokasi di kawasan perumahan berkepadatan tinggi bagi golongan B40.

“Ini menjadikannya antara insiatif paling berkesan dalam memastikan akses kepada bekalan makanan berkualiti dan berpatutan serta memperkukuhkan ekonomi golongan petani, penternak dan nelayan.

“Sambutan luar biasa yang diterima sepanjang pelaksanan program ini membuktikan betapa pentingnya peranan kementerian dalam menghubungkan hasil pertanian dengan rakyat di samping memastikan keterjaminan makanan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu di Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengumumkan antara pencapaian dan kejayaan kementeriannya sepanjang tahun 2024.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Sabu berkata, kemuncak kejayaan kementeriannya pada tahun lalu adalah penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, yang berjaya menarik seramai 5.51 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, penganjuran itu mencatat kejayaan cemerlang dengan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM48.55 juta dan pemteraian sebanyak 81 memorandum bernilai RM7.2 billion.

“209,352 transaksi tanpa tunai melalui agrobank _cashless, QR pay direkodkan dengan jumlah keseluruhan RM4.06 juta di samping potensi pembiayaan dianggarkan sebanayk RM1.57 billion dan jualan barangan cenderamata sebanyak RM1.6 juta.

“Kejayaan ini memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan dan pempamer memperkukuh Malaysia sebagai hub agro antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, program agropreneur muda terus menunjukkan impak yang signifikan menerusi penglibatan lebih 6,300 peserta dalam pelbagai latihan dan kursus.

Daripada jumlah itu, Mohamad Sabu berkata, seramai 815 orang telah mendapat kelulusan geran agropreneur muda.

“Kita juga telah berjaya mencata pencapaian yang membanggakan, yang mana 50 peratus daripada usahawan muda yang terlibat telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

“35 peratus daripada jumlah itu mencapai julat pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya.

Menurut Mohamad Sabu, antara pencapaian lain termasuk sebanyak 783 graduan dari Institut Latihan Pertanian telah menerima latihan melalui program teknikal dan vokasional yang berfokus kepada teknologi moden dan pertanian.

Beliau berkata, kursus baharu yang menumpukan kepada automasi pertanian pintar dan pengurusan rantaian nilai turut diperkenalkan.

“Penambahan kurikulum hasil kerjasama dengan pemain industri telah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan kepada 78.1 peratus, meningkat daripada 72.3 peratus pada tahun 2023,” katanya.

Tambahnya lagi, seluas 1,674 hektar kawasan baharu tanaman nanas telah dibuka manakala sebanyak 2,444 kontena nanas berjaya dieksport, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 2,000 peserta industri pertanian.

Selain itu, penanaman bawang merah kecil berskala besar berjaya dilaksanakan di kawasan seluas 59.62 hektar dengan penglibatan seramai 43 peserta.

Katanya, sebanyak 44.05 tan metrik hasil penanaman itu telah direkodkan pada tahun lalu.

“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikn potensi Malaysia dalam pengeluaran bawang tempatan, malah menjadi bukti bahawa negara kita mampu mengurangkan kebergantunagn kepada import bawang,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat