Pekerja OKU wajib dibayar setimpal – Dr Roslinda

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU), Prof Madya Dr Roslinda Alias menolak keras tindakan segelintir majikan yang tidak membayar gaji setimpal kepada golongan itu.

Menurut beliau, tindakan tersebut berpunca daripada kurangnya kesedaran dan belas ihsan di kalangan majikan.

Menurutnya, walaupun potensi komuniti OKU sama baiknya dalam melakukan pekerjaan, kumpulan ini masih tidak diberi sokongan atau peluang yang setara.

“Saya tidak mahu tengok itu sebagai masalah. Kadang-kadang perkara ini berlaku kerana tiada kesedaran.

“Pihak majikan melihat OKU sebagai individu yang kurang berkemahiran.

“Memang mereka orang kurang upaya tetapi prestasi mereka sama dan setaraf dengan orang normal,” katanya ketika ditemu ramah Malaysia Bangkit selepas Perasmian Karnival CASA OKU di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana.

Roslinda yang juga ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) turut menyatakan bahawa kebolehpasaran komuniti OKU dalam industri pekerjaan menunjukkan peningkatan drastik sejak 2019.

Katanya, kini seramai 85 peratus graduan OKU dari UiTM kini sudah berada di alam pekerjaan atau menjadi usahawan.

Namun begitu, katanya, diskriminasi masih wujud dan perlu dibendung dengan mencari jalan terbaik. Roslinda menyeru agar masalah diskriminasi dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki dan menyediakan program untuk meningkatkan daya saing graduan OKU.

“Sebab kita yang (orang) biasa pun turut mengalami diskriminasi seperti wanita.

“Oleh sebab itu, sebelum mereka (OKU) habis pengajian, kami telah menyediakan pelbagai program untuk mereka berdaya saing dan membezakan kualiti mahasiswa UiTM daripada universiti lain,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat