Ulasan | Perikatan Nasional tidak layak pimpin Kerajaan Persekutuan

Oleh: Hassan Abdul Karim

ULASAN | SEKARANG sibuk di kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS memasarkan nama pemimpin-pemimpin mereka yang layak jadi Perdana Menteri.

Saya berpandangan sebaliknya. Mereka tidak layak. Saya ingin memberi alasan mengapa Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada dua komponen penting Bersatu dan PAS tidak layak menjadi Kerajaan Persekutuan dan pemimpin mereka yang ada sekarang tidak layak menjadi Perdana Menteri?

Saya hanya ingin memberi satu sebab sahaja bahawa adalah merbahaya Kerajaan Persekutuan diserah pentadbirannya kepada pemimpin PN sekarang yang terdiri daripada Bersatu dan PAS.

Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang ialah PN telah mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan.

Pertimbangan saya terhadap keupayaan dan sikap bertanggungjawab pemimpin Bersatu dan PAS dalam menguruskan negara mungkin berubah jika Bersatu dan PAS berupaya mengemukakan barisan pemimpin baru yang lebih rasional, amanah dan bertanggungjawab.

Maka selagi Bersatu dan PAS dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan darurat di seluruh negara, maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia ini.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk saya, Ahli Parlimen Pasir Gudang terpaksa ke Mahkamah Tinggi, ke Mahkamah Rayuan dan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan kerajaan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah bertanggungjawab mengisytiharkan seluruh Malaysia darurat dan menggantung Parlimen Malaysia.

Pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan.

*Penulis juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

Anda Mungkin Berminat