WBB kurang fleksibel buat petugas kesihatan – AMK Pahang

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah langkah yang tidak memberi keseimbangan kepada kehidupan pekerja kesihatan.

Ketua Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) Pahang, Chan Chun Kuang mendakwa sistem baharu dilihat tidak praktikal dan kurang fleksibel bagi memenuhi keperluan dinamik sektor mereka, terutama dalam situasi kecemasan.  

“Meskipun WBB bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan, serta memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat, namun terdapat kebimbangan dan ketidakcukupan yang telah diutarakan oleh para petugas kesihatan dalam Majlis Libat Urus Sesi Town Hall patut diberi perhatian dan diteliti semula agar pelaksanaannya mencapai matlamat yang disasarkan.

“Tujuan asal sistem ini juga adalah untuk meningkatkan keseimbangan kerja kehidupan mungkin tidak tercapai sekiranya waktu kerja tidak diatur dengan baik, malah ia telah menyebabkan tekanan fizikal dan mental kepada petugas bertambah,” jelasnya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau yang juga ADUN Semambu berkata  pelaksanaan ini juga berpotensi menyebabkan pengurangan elaun sekali gus merupakan sebahagian daripada sumber pendapatan bagi petugas kesihatan, khususnya mereka yang bergaji rendah atau dalam kontrak.

“Adalah penting untuk sistem itu diteliti semula dan ditambah baik dengan mengambil kira semua pandangan pihak berkepentingan, khususnya mereka yang terlibat secara langsung. 

“Saya yakin bahawa Dr Dzulkefly akan meneliti semua pandangan ini dan mencari jalan penyelesaian yang adil serta memuaskan semua pihak. 

“Saya berharap sikap keterbukaan ini dapat diteruskan dalam setiap cadangan dasar baharu di setiap peringkat pentadbiran kerajaan pada masa hadapan. 

“Melibatkan pendapat semua pihak berkepentingan adalah kunci utama untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kebaikan bersama,” katanya.

Sebagai info, WWB adalah cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina petugas Kementerian Kesihatan.

Antara cadangan pelaksanaan dalam WWB ialah mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu, dengan tiga kali atas panggilan seminggu, kepada maksimum 72 jam seminggu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat