Elak ‘doxing’, jangan jadi hakim swasta – Fahmi

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menasihatkan orang ramai supaya tidak mencari dan menyebarkan maklumat peribadi pelaku dalam insiden lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul di pasar tani di Chukai, Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut boleh menjurus kepada perbuatan ‘doxing’ yang bertujuan menggentarkan atau menakutkan individu tersebut.

“Jangan kita jadi hakim swasta, yang mana kita memutuskan seseorang sebagai bersalah dengan sebarkan maklumat peribadi.

“Negara ini ada undang-undang dan kita perlu hormatinya. Serahkan kes kepada pihak polis untuk diambil siasatan. Jangan risau kerana tindakan akan diambil,” katanya pada majlis pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Pada Jumaat lalu, seorang lelaki OKU dipukul selepas motosikal ditunggangnya melanggar gerai jualan di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai.

Polis setakat ini telah menahan lima lelaki susulan kejadian tersebut.

Anda Mungkin Berminat