Vivy dan suami mengaku tidak bersalah, mohon dibicara

KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta milik syarikat itu.

Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata pasangan terbabit, memetik laporan media tempatan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Disember tahun lalu, pasangan ini mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB bagi jumlah sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya, di sebuah bank sama dan tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat