Kerjasama SPRM-FBI berjaya pulihkan USD20 juta dana 1MDB

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan kejayaan kerjasama erat antara SPRM, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam memulihkan wang sebanyak USD20 juta (lebih RM90 juta) berkaitan dana 1MDB yang melibatkan projek tenaga solar di Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, wang tersebut melibatkan ahli perniagaan, Frank White Jr. dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).

“White Jr. secara sukarela menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mengetahui bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan.

“SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia tidak termasuk USD20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.

“SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang diselewengkan daripada negara Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa negara di Eropah.

“Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat