PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan memperinci semula pemberian tol percuma secara bersasar sempena musim perayaan.
Beliau yang kini berada di Davos, Switzerland, berkata pendekatan itu diselaras dengan subsidi yang dibuat sebelum ini, memberi tumpuan penuh kepada bantuan golongan B40 dan M40.
“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati.
“Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan pada peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain.
“Perkara ini sedang diperincikan. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua, seperti subsidi elektrik dan minyak,” katanya, memetik Berita Harian pada Khamis.
Pada Selasa lalu, Nanta Linggi dilapor berkata, 2024 adalah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan selepas mesyuarat Kabinet tahun lalu memutuskan untuk mencari pendekatan lebih bersasar, yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Baca juga: