Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) diiktiraf sebagai pemacu utama dalam peningkatan ekonomi negara-negara ASEAN.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Shazleen Mohamed, kerjasama strategik serantau adalah penting dalam menetapkan garis panduan etika dan tadbir urus AI seperti diterapkan dalam ASEAN Guide on AI Governance and Ethics (2023) bagi membangun dan menggunakan sistem AI secara bertanggungjawab.
Katanya, kerjasama serantau yang strategik bukan sahaja boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjadikan rantau ASEAN lebih kompetitif di peringkat global.
“Negara-negara anggota ASEAN perlu melabur dalam infrastruktur digital seperti rangkaian internet yang pantas dan stabil, pusat data serta teknologi 5G.
“Infrastruktur ini adalah sebagai asas kepada transformasi digital dan penggunaan AI yang lebih meluas dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perkilangan dan perkhidmatan,” katanya kepada Malaysia Bangkit Ketika dihubungi.
Dr Shazleen juga menekankan kepentingan peningkatan kemahiran digital melalui program latihan dan bengkel untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang ditawarkan oleh teknologi digital dan AI.
Beliau turut menyarankan perkongsian data serantau untuk membangunkan rangka kerja data yang selamat yang dapat menyokong perkembangan model AI dan meningkatkan kecekapan perniagaan serta inovasi.
“Akses kepada data yang lebih besar dan pelbagai dapat membantu dalam pembangunan model AI yang lebih canggih dan meningkatkan kecekapan perniagaan serta inovasi,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia akan memberi keutamaan kepada tenaga dan ketersambungan dengan fokus pada membina kepercayaan dan keterangkuman dalam kalangan negara anggota ASEAN terutamanya dalam bidang digital dan AI.
Beliau berkata demikian sebagai ahli panel pada sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 yang berlangsung di Davos, Switzerland, baru-baru ini.
Baca juga: