MCMC berperanan sebagai nadi penggerak promosi TMM 2026

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diyakini mampu menjadi pemacu utama dalam memperkasakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Menurut Ketua Penyelidikan Universiti Malaya (UM), Dr Saaidal Razalli Azzuhri, MCMC boleh menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melancarkan kempen pemasaran digital yang agresif melalui media sosial, laman web interaktif dan aplikasi mudah alih.

“Selain itu, MCMC juga wajar memperluaskan infrastruktur digital melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan liputan dan kualiti internet di destinasi pelancongan termasuk kawasan luar bandar.

“Ia adalah sangat penting bagi memastikan pelancong mempunyai akses komunikasi yang lancar.

“MCMC untuk memastikan kandungan promosi pelancongan mematuhi piawaian yang ditetapkan, sehingga maklumat yang disampaikan adalah tepat dan beretika,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dr Saaidal berkata, MCMC juga boleh bekerjasama dengan pempengaruh media sosial untuk menarik perhatian golongan muda dari dalam dan luar negara untuk mempamerkan keindahan destinasi pelancongan dalam negara.

Tambah beliau, dengan inisiatif tersebut, Malaysia bersedia untuk mempergiatkan promosi dan aktiviti pelancongan, menjadikan TMM 2026 sebagai detik kebangkitan pelancongan negara ke aras lebih tinggi.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM550 juta sebagai persiapan rapi untuk TMM 2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan bahawa sasaran awal bagi TMM 2026 adalah sebanyak 36 juta pelancong.

Anda Mungkin Berminat