Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Lima lelaki warga asing ditembak selepas melanggar bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebanyak empat kali dan cuba menyerang anggota APMM di perairan Tanjung Rhu, Banting, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada pukul 7.30 pagi, semalam.
Katanya, kesemua pesakit dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan kesan tembakan di anggota badan.
“Siasatan lanjut mendapati bot suspek melanggar bot APMM sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguatkuasa dengan parang.
“Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri, anggota APMM melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.
“Pada jam 9 pagi, pihak APMM menerima maklumat mengenai sebuah bot terdampar di pesisir Pantai Banting dan menjumpai dua lelaki tidak sedarkan diri.
“Mereka ditunda ke pangkalan APMM di Pelabuhan Klang untuk bantuan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Hussein, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan kritikal dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.