Mansuh tol percuma kurangkan kerumitan di jalan raya – Pakar

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Kerajaan disaran untuk memansuhkan sepenuhnya tawaran tol percuma, terutamanya pada musim perayaan di negara ini.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Law Teik Hua membangkitkan perkara itu selepas kerajaan memberikan potongan tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.

Selain bersetuju dengan pemansuhan itu dilaksanakan secara berperingkat, Teik Hua berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira isu lebih mendesak yang memerlukan peruntukan kewangan.

Beliau berkata, ini termasuk memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti keperluan asas.

Bukan itu sahaja, katanya, pemansuhan tersebut juga akan mengurangkan kerumitan di jalan raya, termasuk kesesakan lalu lintas dan risiko keselamatan membimbangkan.

“Sekiranya kerajaan tidak beri tol percuma, ini bukan bermakna pengguna jalan raya tidak dapat melakukan perjalanan.

“Jika kerajaan beri tol percuma ketika ini, kita boleh jangka kaum Cina yang paling sibuk (di jalan raya) semasa Tahun Baharu Cina.

“Kaum lain yang tidak sambut perayaan itu juga akan turun serta kerana mereka sudah diberi tol percuma.

“Oleh itu, jika tol percuma masih ditawarkan, ia mungkin akan menambah kesesakan dan merisikokan keselamatan,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Ahad.

Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari ini, dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat