PETALING JAYA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada Isnin, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, Prabowo akan diringi oleh menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Kementerian Luar yang dikenali Wisma Putra berkata, lawatan itu mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia.
“Lawatan itu juga merupakan Lawatan
Negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“la juga menandakan Lawatan Negara pertama oleh Presiden Prabowo ke negara Asia Tenggara, sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024,” menurut kenyataan itu.
Semasa lawatan ini, Prabowo akan disambut dengan Istiadat sambutan Negara dan dikuti dengan Kunjungan Menghadap ke atas Sultan
Ibrahim.
Seri Paduka Baginda juga berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden dan delegasinya.
“Sebagai jiran rapat dengan hubungan erat dan pengasas ASEAN, Lawatan Negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan bersama, serta untuk rantau ini secara keseluruhan.
“Hubungan yang berpanjangan, harmoni dan strategik ini meliputi kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan, dan sosiobudaya,” menurut kenyataan itu lagi.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).
Baca juga: