Jabatan Penjara sahkan berlaku kes provokasi di Penjara Taiping

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Penjara mengesahkan kejadian provokasi melibatkan prospek yang baru dipindahkan daripada Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.

Menurut kenyataan hari ini, laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Jabatan Penjara menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa menjalankan tugas,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara memohon kerjasama orang awam agar tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih berkaitan kejadian tersebut bagi mengelak penyebaran maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Terdahulu, sebuah pertubuhan politik mengadakan perhimpunan di hadapan Penjara Taiping bagi menuntut siasatan telus dan tindakan diambil pihak berkuasa.

Perhimpunan itu susulan dakwaan berlaku kekasaran oleh warden penjara terhadap lebih 100 banduan hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat pula dilaporkan berkata, keterangan 82 individu termasuk dua pegawai penjara sudah diambil bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan sudah dibawa ke pengetahuan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat