Prabowo sahabat setia, ada ketika susah senang – Anwar

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi bahawa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai seorang sahabatnya yang setia dan tidak pernah meninggalkan beliau walaupun ketika mempunyai kedudukan.

Katanya, Prabowo sentiasa ada dekat dengannya ketika senang dan susah.

“Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu.

“Tetapi yang pentingnya tiap kali beliau berkesempatan beliau tidak pernah meninggalkan walaupun semasa itu ada jabatannya hatta kedudukannya dan saya agak terlempar di pelusuk mana-mana.

“Kata Khairul Anwar, “kepada binatang jalang dari kumpulan yang terbuang tetapi masih ada sahabat yang setia,” kata Anwar pada sidang media bersama Prabowo di Menara Berkembar Petronas pada Isnin.

Prabowo tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pesawat Indonesia 1 yang membawa Prabowo beserta delegasi, mendarat di Pangkalan Udara Subang TUDM, pada jam 5.35 pagi tadi.

Pada jam 10 pagi tadi, Prabowo diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara bersempena lawatan negara atas jemputan Sultan Ibrahim.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.

Selepas istiadat rasmi, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Prabowo di Dewan Seri Maharaja dan beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati I, disusuli dengan persembahan cenderakenangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat