Tabung Pembinaan Gaza perlu kerjasama negara maju

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Cadangan penubuhan Tabung Pembinaan Gaza bukan sahaja memerlukan penglibatan negara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), malah terdapat keperluan pembabitan negara maju yang lain.

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, hal ini kerana kos pembinaan semula Gaza dijangka mencecah jumlah tinggi sehingga bilion ringgit.

“Saya berpendapat penglibatan negara ASEAN adalah bagus, namun lebih baik untuk turut bekerjasama dengan negara Asia Timur seperti Jepun dan Korea.

“Kerjasama juga sepatutnya dilakukan bersama negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) demi pembangunan Gaza.

“Malaysia memiliki kekuatan dari segi diplomasi yang agresif dan ia perlu dimanfaatkan, di samping memiliki kekuatan hubungan dagangan serta hubungan baik dengan pelbagai negara,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Ammar Atan menyarankan penubuhan Tabung Pembinaan Gaza yang melibatkan negara ASEAN, OIC serta negara pro keadilan, susulan Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini.

Dalam ucapannya pada Konvensyen Nasional 2024 Amanah, di Klang, Selangor pada Sabtu, Ammar berkata, solidariti itu penting bagi membuktikan Malaysia sebagai peneraju dalam isu kemanusiaan, manakala tabung tersebut boleh digunakan untuk membina infrastruktur penting seperti sekolah dan hospital di Gaza.

Bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun bagi menyegerakan pembangunan semula Gaza berikutan gencatan senjata yang telah dicapai.

Anwar berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawatannya, Shigeru Ishiba untuk membincangkan perkembangan mutakhir itu.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari, di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk sebuan rantau yang bersatu dan makmur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat