Nasional

ILAM mahu PBT patuhi garis panduan pengurusan pokok-pokok awam

Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan pelaksanaan sepenuhnya garis panduan dalam pengurusan pokok-pokok awam.

Presiden ILAM, Profesor Madya Dr Nor Atiah Ismail berkata, Garis Panduan Landskap Negara telah dibentuk dan disusun dengan teliti oleh pakar-pakar bidang landskap untuk memastikan keselamatan awam dan mengutamakan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, selain pelaksanaan sepenuhnya garis panduan tersebut, langkah-langkah proaktif perlu diambil PBT untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang lagi termasuk melibatkan pakar seperti arkitek landskap dan perancang bandar dalam proses perancangan bandar.

“Perancangan yang bersepadu dan teliti adalah penting untuk memastikan landskap bandar direka bentuk dengan memperuntukkan ruang yang mencukupi untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan selamat.

“ILAM akan mengekalkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha memastikan keselamatan awam dan menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan daripada insiden pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada pukul 2.19 petang hari Selasa.

Insiden tersebut turut mengorbankan nyawa, merosakkan harta benda awam dan menghempap 17 buah kenderaan pengguna jalan raya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close