Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kepimpinan Malaysia akan menjadi kunci kepada usaha memastikan ASEAN kekal relevan di mata dunia.
Ini kerana, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dijangka membawa hala tuju baharu bagi memperkukuh kedudukan blok serantau sebagai entiti bersatu, progresif, dan relevan di peringkat global.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, ketika Malaysia mengambil alih teraju ASEAN pada 2025, kepimpinannya dipandu oleh visi kemakmuran dan inklusiviti yang dikongsi.
“Kepimpinan Malaysia akan memberi tumpuan kepada penglibatan konstruktif dengan kuasa global sambil mengekalkan kebebasan ASEAN dan mempromosikan kestabilan.
“Dalam dunia yang saling bergantung penuh dengan ketidakpastian, keupayaan ASEAN untuk bertindak secara kolektif dan pragmatik akan menentukan peranannya sebagai kuasa penstabil dan mercu tanda kemajuan.
“Ini adalah masa untuk ASEAN bersinar, dan Malaysia bersedia untuk memimpin jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, Malaysia memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang berpusatkan rakyat dan sensitif terhadap isu alam sekitar.
Dalam sidang media bersama wakil media Malaysia mengakhiri lawatan kerja ke Davos sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ASEAN berpotensi sebagai rantau yang terus berkembang dengan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.
Katanya, ia melibatkan beberapa perkara asas lain termasuk pendidikan, teknologi makanan, transisi tenaga serta strategik Grid Kuasa ASEAN.
Baca juga: