PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza, Palestin.
Usaha itu adalah sebahagian daripada pembinaan semula Gaza yang diumumkannya pada hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan membentuk dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi yang diurus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia.
“Jawatankuasa Khas ini akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri serta rakan-rakan strategik bagi mempertingkat kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.
“Marilah bersama-sama berdoa agar segala perancangan yang disusun ini terlaksana dengan jayanya.
“Semoga Allah Subhanahu Wataala memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin menghadapi ujian berat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan memulakan usaha pembinaan semula Gaza dengan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2025/01/1000350071-1024x683.jpg)
Usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas dengan kerjasama kerajaan Jepun.
Anwar berkata, projek-projek itu akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta dan rakyat Malaysia.
Anwar juga menyebut bahawa Malaysia dan Jepun sedang bekerjasama untuk menubuhkan dana di bawah Rangka Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi mempercepatkan pembinaan semula Gaza.
Inisiatif itu dibincangkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, ke Malaysia awal bulan ini.