PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang merayakan perayaan tersebut.
Seri Paduka Baginda bertitah agar perayaan ini membawa kemakmuran serta kebahagiaan kepada mereka yang menyambutnya.
“Semoga sambutan Tahun Baharu Cina ini mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa di negara ini,” titah Seri Paduka Baginda.
Untuk info, Tahun Baharu Cina juga dikenali sebagai Pesta Musim Bunga yang merupakan salah satu perayaan terbesar bagi masyarakat Cina di Malaysia.
Perayaan ini menandakan permulaan kalendar lunar dan disambut dengan penuh semangat oleh masyarakat setempat dengan pelbagai adat dan tradisi.
Perayaan tersebut bermula pada hari pertama bulan lunar dan berlangsung selama 15 hari, diakhiri dengan Pesta Tanglung pada hari ke-15.
Masyarakat Cina akan berkumpul bersama keluarga untuk makan besar pada malam sebelum Tahun Baharu Cina (Reunion Dinner), membersihkan rumah, menghiasi rumah dengan tanglung merah, memberikan angpau kepada kanak-kanak serta mengadakan tarian naga dan tarian singa.
Sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia dianggap meriah dan penuh warna-warni.
Makanan tradisional seperti yee sang, nian gao dan pelbagai hidangan lain turut menjadi keistimewaan perayaan ini.
Segenap lapisan masyarakat termasuk kaum lain turut meraikan perayaan ini bersama-sama, mencerminkan perpaduan dan keharmonian di negara ini.