PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menzahirkan rasa dukacita dengan bencana banjir yang melanda Sarawak ketika ini.
Apatah lagi, lebih 1,097 mangsa kini ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah seperti Kuching, Serian, Bintulu, Miri, Siburan, Tatau, Bau dan Simunjan.
Pada masa sama, Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 374 orang ditempatkan di enam PPS.
“Berat hati saya melihat keadaan banjir yang sedang melanda Sarawak.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi berkaitan telah menggerakkan bantuan segera untuk memastikan keperluan asas dan sokongan psikososial disalurkan kepada semua mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menyeru semua pihak yang terkesan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kepada mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui JKM atau pertubuhan yang diiktiraf,” tambahnya.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan berhubung perkara ini boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau pejabat bahagian atau daerah JKM terdekat.
Untuk info, talian bantuan PKMB Kuching adalah di 082-507600, PKMB Bau (082-763044), PKMB Serian (082-892288), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Simunjan (082-803707), PKMB Bintulu (086-313675) dan PKMB Miri (085-432960).