Uncle Wong terima angpau dari PM sempena Tahun Baru Cina

PETALING JAYA: Sempena Tahun Baru Cina, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkesempatan menziarahi Uncle Wong, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah banyak berjasa kepada masyarakat setempat di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Menurut hantaran di Facebook yang dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Uncle Wong yang telah menghidap strok sejak 10 tahun lalu tetap menunjukkan semangat juang yang luar biasa meskipun diuji dengan kesihatan yang terhad.

Farhan Fauzi berkata, semasa pertemuan bersama Uncle Wong, beliau telah menyampaikan ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri atas sumbangan tidak terhingga beliau kepada masyarakat setempat.

“Semoga dengan semangat perayaan yang penuh kemeriahan ini, kita dapat terus hidup dalam suasana yang harmoni, dikurniakan kesihatan dan rezeki yang baik serta kebahagiaan sepanjang masa buat semua,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan tunai, limau mandarin dan bakul makanan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba.

Anda Mungkin Berminat