Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Media tempatan disaran untuk menubuhkan meja ASEAN sebagai ciri tetap penyiaran bahan berita dan ulasan sempena kepengerusian ASEAN.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, media tempatan bukan sahaja perlu memberi tumpuan dalam penyiaran laporan berita dan rencana, malah seharusnya mengutarakan pendapat atau komentar yang matang dan bernas.
Beliau turut mencadangkan media tempatan untuk mewujudkan berita atau laporan khas ASEAN menerusi surat khabar bercetak atau secara dalam talian.
“Ulasan dan tafsiran media dan kewartawanan Malaysia amat ‘instrumental’ dalam memberi makna kepada peranan Malaysia sebagai ahli dan pengerusi ASEAN.
“Selain itu media Malaysia wajar menyuarakan dan menyiarkan kegiatan dan falsafah ASEAN ke peringkat dunia,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penambahbaikan yang harus dibuat oleh media tempatan sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk sebuah rantau yang bersatu dan makmur.
Untuk rekod, Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.