PM umum bantuan tunai segera RM1,000 mangsa banjir di Sabah, Sarawak

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai segera sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak.

Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Kenduri Rakyat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Ipoh, Perak pada Jumaat.

Anwar berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh.

“Bantuan ini tidak bergantung kepada negeri atau musim tertentu tetapi atas dasar tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memperuntukkan dana tambahan sehingga RM24 juta bagi membaiki kerosakan besar yang berlaku akibat bencana tersebut.

Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 17,459 orang, melibatkan 11,734 orang di Sarawak dan 5,725 orang di Sabah.

Dalam pada itu, Anwar dalam kunjungan ke parlimennya ke Tambun turut meluangkan masa bertemu kumpulan perniagaan dan orang ramai, meninjau projek pembentungan dan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina. 

Beliau berjanji banyak perancangan sedang digerakkan untuk manfaat warga Tambun dan sekitarnya.

Anda Mungkin Berminat