Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Seramai 4.37 juta pekerja bakal menerima manfaat pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai 1 Februari 2025 (esok).
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menetapkan kadar gaji minimum berjumlah RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.
Jelasnya, penetapan itu tertakluk kepada majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
“Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuatkuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Hal itu katanya, bagi memastikan majikan diberi tempoh yang mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Dalam kenyataan sama, KESUMA menegaskan bahawa semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum tersebut dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Katanya, kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum itu merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.
“KESUMA menyeru semua majikan, pekerja dan pihak berkepentingan industri untuk bekerjasam dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu ini,” ujarnya.