Oleh: Kamilia Ali
BINTULU: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dilaporkan hilang selepas terputus hubungan komunikasi sejak 29 Januari lalu di perairan Sarawak.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah mengesahkan vesel tersebut yang dikendalikan oleh tiga nelayan warga Indonesia masih gagal dikesan, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan daripada seorang pengadu, Faiz Yong Abdullah, pada Khamis pukul 4 petang.
“Majikan ketiga-tiga nelayan terbabit telah membuat laporan polis, memaklumkan bahawa vesel tersebut berlepas ke laut untuk menangkap ikan pada 26 Januari.
“Namun, pada 29 Januari lalu, jurumudi vesel gagal dihubungi melalui alat komunikasi radio dan telefon bimbit, sekali gus menimbulkan kebimbangan sesuatu perkara yang tidak diingini telah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan laporan kehilangan itu, katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 30 Januari, pukul 9 malam.
Suffian berkata, sebagai langkah awal, bot KILAT 44 telah dikerahkan untuk melakukan pencarian.
“Bagaimanapun, usaha mencari pada malam pertama terpaksa ditangguhkan akibat keadaan cuaca buruk menyebabkan Operasi CARILAMAT sukar diteruskan.
“Operasi hari kedua pada 31 Januari diteruskan seawal pukul 8 pagi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Pasukan Polis Marin Jepak,” ujarnya.
Tambahnya, Maritim Malaysia turut mendapat kerjasama dan bantuan dari pasukan sahabat antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengatur gerak Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu.
“Maritim Malaysia ingin menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan vesel ini atau sebarang kecemasan di laut diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544,” kata beliau.
Operasi CARILAMAT mangsa berkenaan ditangguhkan petang semalam dan disambung pada hari ini yang memasuki hari ketiga.