Pemuda AMANAH cadang AI jadi subjek teras pendidikan

PETALING JAYA: Pemuda AMANAH Nasional menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk segera memasukkan kecerdasan buatan (AI) sebagai subjek teras dalam kurikulum sekolah dan universiti.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Faris Arriffin berkata, dengan kemunculan AI canggih seperti ChatGPT, DeepSeek, Qwen dan Gemini serta pasaran AI global yang diunjurkan mencecah USD 15.7 trilion (RM699,788,250,000,000) menjelang 2030 (PwC), Malaysia mesti bertindak pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan global.

Katanya, negara seperti China, Singapura, Korea Selatan, Estonia dan Finland telah mewajibkan pendidikan AI bertujuan membina generasi yang bukan sekadar pengguna tetapi pencipta teknologi.

“Kami mencadangkan tiga langkah utama iaitu AI sebagai subjek wajib dari sekolah rendah hingga universiti untuk membangunkan asas pemikiran digital sejak awal.

“Kedua, pembinaan makmal AI dan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi utama seperti Google, Microsoft dan Nvidia.

“Ketiga, peruntukan dana sekurang-kurangnya RM500 juta setahun bagi membangunkan kurikulum AI, latihan tenaga pengajar dan infrastruktur pendidikan digital setanding dengan negara luar yang maju,” katanya dalam satu kenyataan.

Faris turut berpendapat bahawa Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi AI di rantau ini tetapi tanpa strategi pendidikan yang jelas, pengguna berisiko menjadi sekadar pengguna teknologi asing.

“KPM dan KPT perlu bertindak segera untuk memastikan generasi muda Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta AI yang mampu membawa negara ke hadapan dalam revolusi teknologi global,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat