ASEAN 2025: P.Pinang sedia sambut kedatangan delegasi negara lain

PETALING JAYA: Pulau Pinang memiliki kemudahan dan persediaan lengkap menjadi faktor negeri itu dipilih sebagai tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, ini termasuk rangkaian penerbangan, penginapan, lokasi penginapan dan restoran yang menyediakan variasi makanan pelbagai kaum di negara ini.

“Pulau Pinang sememangnya sudah bersedia untuk menyambut kedatangan delegasi dan para pelancongan dari negara lain,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

PENERBANGAN TERUS KE LTAPP

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, Pulau Pinang memiliki rangkaian penerbangan lengkap pada peringkat Asia Tenggara, yang mana delegasi dari negara ASEAN boleh melakukan penerbangan terus ke negeri itu untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Apatah lagi, katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) merupakan lapangan kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Delegasi termasuk dari Jakarta, Ho Chi Minh, Singapura dan Bangkok boleh terbang dari negara masing-masing dan tidak perlu tukar di KLIA untuk ke Pulau Pinang.

“Jika negeri ini tiada lapangan terbang antarabangsa, maka mereka perlu turun di KLIA terlebih dahulu, menaiki pengangkutan darat dan melalui lebuh raya yang mungkin mengambil tempoh lama untuk tiba ke Pulau Pinang.

“Mereka juga boleh menjelajahi dan menikmati keindahan Pulau Pinang melalui beberapa lokasi peranginan seperti Bukit Bendera, Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah,” ujarnya.

PROMOSI KEBAYA NYONYA

Beliau turut mencadangkan, kebaya nyonya Pulau Pinang yang pernah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) boleh dipromosikan kepada pegawai dari delegasi negara ASEAN.

“Pakaian tradisional ini boleh dipakai oleh pegawai wanita sama ada untuk tujuan bergambar atau dijadikan cenderamata.

“Setakat ini tiada sebarang permintaan daripada apa-apa kementerian lagi (untuk jadikan kebaya nyonya sebagai pakaian rasmi). Mungkin kementerian tertentu ada perancangan sendiri,” tambahnya.

Terdahulu, Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan, dan menteri yang akan dijalankan oleh tujuh kementerian.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Datuk Abdul Kahar Abdullah dilapor berkata, mesyuaratitu meliputi pelbagai bidang kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN, merangkumi aspek keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan pembangunan belia.

Tujuh kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Mesyuarat ini akan diadakan di kawasan pulau, namun ada beberapa aktiviti melibatkan lokasi di Seberang Perai termasuk ketibaan dan pelepasan delegasi di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta lawatan ke tempat menarik, seperti Kampung Agong di Penaga.

Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, melambangkan aspirasi untuk membimbing blok serantau berusia 58 tahun ini ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik, dan mampan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat