Bangun semula Gaza, Malaysia tidak abai kepentingan sendiri

PETALING JAYA: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan bahawa Malaysia lebih mengutamakan kepentingan negara luar berbanding menumpukan perhatian kepada negara sendiri.

Beliau membangkitkan perkara itu selepas timbul kritikan berhubung usaha Malaysia membangunkan semula Gaza.

“Minggu lepas ada yang mengatakan bahawa umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Sebenarnya anak di rumah tak mati kelaparan pun.

“Ini tanggungjawab antarabangsa. Malaysia adalah negara yang menyatakan bantahan terhadap penubuhan awal negara rejim Zionis (Israel) dan menyokong Palestin ditubuhkan sebagai sebuah negara merdeka sudah 70 tahun,” katanya.

Mohamad Hasan berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan berasingan daripada Syed Ibrahim dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyingkiran Israel sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, perkara itu sudah dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November lalu.

Beliau berkata, perkara sama juga sedang dijadikan resolusi sidang tergempar serta diusahakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab untuk dikemukakan ketika persidangan PBB ke-80 pada hujung tahun ini.

“(Israel) boleh disingkirkan sebagai ahli PBB melalui Artikel 5 dan 6 (Piagam PBB) dan boleh mendapat mandat daripada majoriti anggota PBB.

“Namun, penyingkiran ini adalah sukar kerana apabila ada resolusi diluluskan tetapi akhirnya ditolak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Seperti yang berlaku baru-baru ini apabila 124 negara bersetuju dengan perkara itu tetapi kemudian ditolak UNSC.

“Itulah sebabnya semasa saya berhujah di mesyuarat PBB dan UNSC, saya menegaskan supaya kuasa veto ini dihadkan dan tidak boleh digunakan untuk kes atau isu yang ada bersangkutan dengan genosid, kekejaman terhadap kemanusiaan atau pelanggaran yang menyebabkan kemusnahan kepada negara atau manusia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat