Suspek pecah rumah dikesan, cincin pusaka antara barang dilarikan

Oleh: Kamilia Ali

KAJANG: Polis sedang giat mengesan seorang suspek yang disyaki memecah masuk rumah dan membawa lari sebentuk cincin di kawasan Bandar Baru Bangi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian tersebut setelah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 38 tahun kira-kira pukul 11.15 malam.

Menurut beliau, pada hari kejadian lebih kurang pukul 7.47 petang, rumah ibu mertua pengadu telah dipecah masuk, dan dua bentuk cincin telah dicuri serta dilarikan.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah memaparkan wajah suspek dipercayai lelaki berbangsa tidak pasti sedang melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Naazron berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Suspek yang dipercayai terlibat sedang giat dikesan dan sekiranya sesiapa mempunyai maklumat tentang kejadian serta suspek ini, boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Norliza Sarini, di talian 013-3843868,” katanya.

Terdahulu, satu kejadian pecah rumah telah berlaku dan suspek disyaki membawa lari cincin yang merupakan pemberian berharga daripada nenek mangsa kepada adiknya.

Beberapa kejadian sama turut dilaporkan berlaku di kawasan berdekatan sejak November tahun lalu, dengan suspek dipercayai individu yang sama berdasarkan rakaman CCTV dan maklumat saksi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat