Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini telah melakukan pelbagai inisiatif untuk menarik pelabur dari pelbagai sektor terutamanya pelancongan.
Pelancong yang hadir ke negara ini sedikit sebanyak menyumbang dalam kenaikan ekonomi.
Menurut Raz Nur Syahirah, 29, seorang usahawan cenderamata di Pasar Seni, Kuala Lumpur, persediaan rapi telah diambil untuk menarik pelancong yang hadir sempena tahun Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, cenderamata yang dijual menawarkan produk bercirikan budaya Malaysia seperti batik, songket, wau, keris dan ukiran kayu.
“Kami juga mengambil langkah strategi pemasaran dengan menghasilkan cenderamata khas bertemakan ASEAN 2025 untuk menarik pelancong dari negara anggota ASEAN.
“Bukan itu sahaja, kami juga menyediakan produk eksklusif edisi terhad yang hanya boleh didapati semasa tahun Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Selain itu, Raz berkata, capaian yang lebih mudah dan menyeluruh membantu meningkatkan hasil jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
“Sekarang pembelian secara atas talian amat memberi impak yang besar terutamanya untuk menjual cenderamata kepada pelancong yang ingin membeli selepas melancong.
“Media sosial sebagai contoh, lebih mudah dan senang untuk mendapat akses, sekali gus kami menyediakan laman web atau media sosial dalam pelbagai bahasa (Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Thai) untuk menarik pelancong asing membeli produk tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, penyediaan kemudahan pembayaran antarabangsa seperti kad kredit, e-wallet (Alipay, WeChat Pay) dan mata wang digital turut disediakan.
“Jujur saya kata, penyediaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan mata wang tunai serta memudahkan transaksi pelancong asing ketika sesi pembelian,” katanya.
Pada 1 Januari tahun ini, Malaysia diberi tanggungjawab sekali lagi mempengerusikan ASEAN serantau menjadi antara fokus utama agenda nasional tahun 2025.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025 secara tidak langsung memberikan peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengemudi blok itu selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan komited untuk melakarkan hala tuju ASEAN yang lebih berdaya tahan, kreatif serta mengutamakan rakyat.
Baca juga: