Didorong Ekonomi Madani, Khazanah Untung RM5.1 Bilion

KUALA LUMPUR: DIdorong oleh kerangka kerja Ekonomi Madani, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatat keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion bagi tahun kewangan 2024.

Dalam satu kenyataan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, menyatakan bahawa prestasi kukuh pada 2024 didorong oleh peningkatan nilai pelaburan dalam pasaran domestik serta pemulihan dalam pasaran global.

“Prestasi positif ini juga didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif,”katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2025 di sini, pada Rabu.

Tambahnya, ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan KDNK dijangka mempercepat kepada antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

“Ringgit mengukuh sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS, dan FBM KLCI mencatatkan keuntungan yang amat baik sebanyak 12.58 peratus,” katanya.

Selain itu, Pulangan Berwajaran Masa (TWRR) NAV meningkat kepada 24.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada 2023.

Menurut Amirul Feisal lagi, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, Khazanah juga menubuhkan Jelawang Capital untuk mempercepat ekosistem modal teroka, melabur dalam sektor semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, serta memperkukuh infrastruktur menerusi pengambilalihan MAHB.

Selain itu, program sosial seperti K-Youth telah melatih 8,222 belia, manakala Yayasan Hasanah memperuntukkan RM86 juta bagi 207 projek impak.

Dalam pada itu, Khazanah turut mengumumkan dividen RM1 bilion kepada Kerajaan Malaysia, menjadikan jumlah terkumpul RM19.1 bilion sejak 2004.

Tambah beliau, Khazanah akan terus melaksanakan strategi Memajukan Malaysia, dengan tumpuan kepada pelaburan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Ia bertujuan memajukan negara dan membina Malaysia yang lebih baik, selaras dengan rukun Ekonomi MADANI iaitu Daya Cipta,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat